Tuesday, October 16, 2012

Merekalah Permata Hatiku

 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W, keluarganya dan sahabatnya.

Assalamualaikum dan salam kasih buat teman2x kesayanganku dan mereka yang sudi meluangkan masa  membaca entri ini.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi ruang pada diri ini untuk meneruskan sisa-sisa hidup dalam mencari cahaya-Nya dan Jannah yang menjadi idaman setiap Muslim. Dia sering membantu diri ini berkelana di bumi yang tidak panjang lagi usianya. Syukur Alhamdulillah.

Coretan kali ini lebih kepada peringatan kepada diri ini yang sering terlupa.

Saya baru sahaja usai membaca sebuah artikel yang bagi saya agak menusuk kalbu. Artikel ini ditulis oleh penulis kegemaran saya iaitu saudara Hilal Asyraf di dalam buku motivasi terbarunya ‘Langit Ilahi 3: Fanzuru’. Artikel ini bertajuk Benarkah Kita Sayang Ibu Bapa?. Dan jugak artikel gen-Q ‘hadiah untuk ibu bapa’....

Tersentap juga saya setelah membaca artikel ini dan Hati ku mula tertanya-tanya benarkah aku sayang pada ayah dan ibu? Atau ianya sekadar ucapan di mulut tanpa perasaan?

Mengapa saya kata begini? Kenapa ya?

Jika soalan sebegini diajukan kepada diri kita, apa yang akan kita jawab?

“Awak sayang ayah dan ibu awak?”

Selalunya jawapan kita berbunyi lebih kurang begini,

“Mestilah saya sayang pada mereka. Mana ada anak tak sayangkan ayah dan ibu.”

Jawapan yang klise.

Bila ditanya mengenai perasaan kita terhadap ibu dan ayah kita, tanpa rasa ragu-ragu kita akan menyatakan betapa sayangnya kita kepada mereka. Persoalanannya, sedalam mana kita mencintai ibu dan ayah kita?

Sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah jauh dengan mereka. Kadangkala kita melupakan mereka. Tidak kisah jika berbulan-bulan kita tidak menghubungi mereka. Bila bersama kawan-kawan, bayangan ibu dan ayah tidak lagi wujud di dalam pemikiran kita. Jadi, perkataan ‘sayang’ yang kita ungkapkan tadi hanya sekadar kata-kata manis di bibir kita.

Sejujurnya, aku sendiri mengalami situasi di atas. Memanglah diriku sayangkan mereka. Namun, kasih-sayang saya itu gagal saya zahirkan. Teringat saya pada zaman saya belajar di SESTER(SM. Sains Kuala terengganu) dan Kolej Mara Kulim. Saya berada jauh dari pandangan mereka. Betapa teruknya saya ketika itu. Begitu jarang sekali saya menghubungi mereka untuk bertanyakan khabar. Saya hanya menelefon mereka sekadar untuk memesan barang-barang yang saya inginkan. Kejam betul saya kepada mereka. Semoga Allah S.W.T mengampuni segala perbuatan diri terhadap umie dan abah.



Bukanlah saya ingin mengatakan yang saya sudah berubah 100%. Mana ada manusia yang sempurna di dunia ini kecuali para anbiyak. Namun, saya masih lagi berusaha untuk berubah untuk menjadi anak yang lebih baik dan solehah kepada ibu dan ayah saya. Saya ingin menjadi harta yang amat bernilai buat mereka. Sebagaimana yang kita ketahui dari sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud,

"Apabila seorang manusia mati , putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) (Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Saudara Hilal Asyraf juga ada berkongsikan sebuah kisahnya bersama sepupunya. Izinkan saya berkongsi cerita ini bersama anda. Semoga hati kita akan terbuka dan berusaha untuk menyenangkan ibu bapa kita.

Jawapan sepupu kepada penulis apabila ditanyakan cita-citanya,

“Cita-cita aku ialah aku hendak dapatkan kerja yang boleh buat aku upah maid untuk jaga ibu dan ayah aku, upah doktor untuk sentiasa jaga kesihatan mereka dan aku mahu bina rumah yang selesa. Biar ibu ayah aku boleh hidup di situ, habiskan masa tua mereka dengan bahagia bersama keluarga.”

Wah. Hebatnya insan ini. Cita-citanya ingin menyenangkan ibu bapanya. Kita pula? Ada kita berfikir sepertinya? Adakah kita mempunyai cita-cita seperti sepupu penulis ini? Jika anda lontarkan soalan ini kepada saya, saya sendiri tidak terfikir untuk memberi jawapan macam ini.

Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Adakah aku patut ikut berjihad?” Rasulullah S.A.W bertanya, “Apakah ibu bapamu masih hidup?” Orang itu menjawab, “Ya.” Rasululah S.A.W berkata, “Lakukanlah jihad untuk keuntungan mereka.”

(Riwayat Al-Bukhari)


Jadi, ayuhlah kita memperbetulkan cita-cita kita demi kasih dan sayang kita terhadap ibu bapa kita. Sesungguhnya ibu bapa itu tidak mungkin dapat kita ganti walau dengan emas setinggi gunung. Bertindaklah sementara mereka masih ada di sisi kita.

Lihatlah bagaimana Allah memuliakan ibu bapa.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman ayat 14-15.)
Redha ayah dan ibu lah saya perlukan dalam hidup ini.

Teringat saya kepada kata-kata saudara penulis,

“Antara sebab penulisan saya diterima ramai adalah kerana ibu bapa saya redha dengan apa yang saya buat sekarang. Bahkan saya kira, apa yang saya capai hari ini bukanlah kerana penat jerih yang telah saya usahakan. Tetapi semuanya kerana doa yang telah ibu bapa saya panjatkan. Redha ibu bapa menjemput redha Allah S.W.T.

Langit Ilahi 3: Fanzuru (m/s 184)

Benar juga kata-kata saudara Hilal Asyraf. Jika ibu bapa redha dengan apa yang kita lakukan, semua perkara yang kita lakukan pasti akan menjadi dan mendapat keberkatan. Insha Allah. Tidak perlulah kita menunggu tibanya Hari Ibu atau Hari Bapa barulah kita hendak menzahirkan perasaan kita terhadap mereka.


Setiap hari adalah Hari Ibu dan Hari Bapa. Jangan pernah lupa doakan ibu dan bapa kita. Semoga mereka di tempatkan di syurga dan di kalangan orang yang beriman.

Ayah! Ibu! Kaulah MATAHARIKU! Sumber cahaya dan kekuatanku,
Ya allah berikan ku kesempatan buatku menumpahkan segala baktiku kepada mereka,
ya allah berikan ku kekuatan untukku mentaati mereka.....
ya allah jauhkan diriku dari menyakiti mereka...